"Syikin!jom main pondok-pondok nak?" tanya Nurul.
"Jom!"Syikin jawab.
Apa kaitan dialog ni dgn tajuk cerita aku hari ni?
Mestilah ada kaitannya. Kalau tak, aku pun malas nak tulis...hehehe...
Di mana la Syikin skrg ni...Lama dah tak jumpa...hampir 15 tahun. Tahun depan da masuk 16 tahun kami tak berjumpa...
Kali pertama aku jumpa Syikin di sebuah tadika Kemas. Masa tu, umur kami baru 5 tahun. Apa je yg bdk2 seusia kami tahu pasal HIV dan Aids? Tahun 90-an tak byk pun pendedahan mengenai penyakit ni.
Kanak-kanak sebaya kami hanya tahu bermain. Melalui bermain, kami belajar. Tapi Syikin ni berbeza. Dia selalu kelihatan letih dan tak bermaya. Rakan-rakan suka ejek dan pulaukan Syikin. Syikin lebih gemar menyendiri dan bersikap pasif di dalam kelas. Dia juga kerap kali tidak hadir ke tadika. Ketika itu, aku masih belum mengenalinya.
Suatu hari, aku ternampak cikgu bertanyakan sesuatu kepada Syikin. Aku lihat mukanya merah dan lebam-lebam serta hidungnya berair. Ketika itu, aku berasa kasihan dan simpati melihat keadaan dirinya.
Oleh kerana ibuku bekerja, aku akan pulang ke rumah atok Jaga ku yang terletak berhampiran dengan tadika. Aku akan pulang bersama-sama cikgu dengan menaiki motosikalnya sekiranya ibuku tidak dapat mengambilku. Setelah aku mengenali Syikin, aku pulang bersamanya kerana Syikin tinggal bersebelahan dengan rumah atok Jaga ku.
Tidak banyak perkara yang aku ingat mengenainya. Aku hanya masih mengingati beberapa aktiviti yang kami lakukan bersama dan peristiwa yang berlaku terhadapnya.
Kawasan tempat tinggal Syikin merupakan sebuah kampung. Aku sering mengajaknya bermain bersamaku di rumah atok Jaga sementara menunggu ibuku pulang dari kerja. Apabila Syikin menjejakkan kaki ke rumah atok Jaga ku, atok Jaga ku akan memarahiku dan menyuruhku membawanya keluar. Ketika itu, aku masih tidak mengerti maksud atok ku itu. Kadang kala apabila cuaca terik di luar,aku akan membawanya masuk ke dalam rumah tetapi aku akan memastikan atok ku sibuk memasak di dapur...(bila fikirkan kembali, aku memang degil dan nakal...hehehehe).
Macam-macam permainan yang kami kongsi bersama. Satu hari, semasa ulang tahun hari jadinya yang ke -6, Syikin menjemputku ke rumahnya buat pertama kali. Dia memperkenalkan aku kepada ibu dan dua orang adiknya. Dia memastikan ayahnya tiada di rumah ketika itu. Ibunya bekerja di kilang Batik yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Sewaktu meniupkan lilin, riak wajahnya amat ceria dan tidak pernah aku lihatnya sebegitu ceria sebelum ini.
Akhirnya, aku mengetahui punca sebenar mengapa dia selalu kelihatan sedih dan letih. Dia sering dipukul oleh ayahnya. Ayahnya seorang penagih dadah. Kasihan aku melihat Syikin. Badannya kelihatan susut dan lemah. Dia bukan saja dipulau oleh rakan-rakan tetapi oleh neneknya sendiri. Apakah salah Syikin? Aku hanya mampu mengembirakan hatinya dengan mengajaknya bermain denganku.
Setelah kami memasuki sekolah rendah, kami tidak lagi bersua. Kami mempunyai haluan masing-masing. Aku tetap pergi ke rumah atok Jaga ku dan sering kali mencarinya tetapi dia sekeluarga telah berpindah. Rumah kecilnya dan kawasan tempat kami bermain hanya tinggal kenangan.
Setiap kali aku mendengar atau membaca mengenai HIV dan Aids, aku pasti akan mengingati Syikin. Aku amat bersyukur kerana ibu bapaku tidak pernah menganggap Syikin itu jijik atau sebagainya. Syikin ada hati dan perasaan juga. Hanya latar belakang keluarga dan penyakitnya itu membuatkan manusia di sekelilingnya begitu stereotaip dan memandang dirinya seolah-olah begitu hina. Apakah salah anak kecil yang bernama Syikin ini? Aku sering mengingatkan diriku... "Tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini".
Di manakah Syikin sekarang? Adakah dia masih hidup atau sebaliknya? Aku tahu dia tidak mahu dirinya diserang oleh penyakit itu. Itu takdir hidupnya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Aku mendoakan semoga Syikin dan keluarga sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah serta Syikin tabah menghadapi ujian dan dugaan yang Allah berikan kepadanya.
HIV dan Aids itu membunuh!