Akhirnya, masa yang aku tunggu-tunggu itu telah tiba. Pada mulanya, aku hanya mendiamkan diri dengan meneliti dan melihatnya secara kasar sebelum mengenalinya secara mendalam. Aku sememangnya telah jatuh hati dan terpesona dengannya. Banyak yang telah aku pelajari daripadanya. Dia menceritakan kepadaku mengenai perjuangan wanita Islam yang menjalani kehidupan yang menitikberatkan syariat Islam dalam segala aspek. Selain itu, diselitkan juga mengenai percintaan yang suci di hadapan Kaabah, persahabatan yang erat dan kukuh, persaudaraan, kehidupan umat Islam sekarang dari pelbagai aspek , bagaimana menghadapi liku-liku kehidupan serta ujian-ujian dengan tidak sesekali melupakan Pencipta iaitu Allah. Tika itu, aku amat merasai dan menyedari betapa aku juga perlu menjadikan kisah yang diceritakan kepadaku sebagai motivasi kerana ianya amat dekat dengan jiwaku sebagai seorang perempuan yang masih mencari identiti diri.
Selain itu, dia juga memberi dan menerangkan maksud beberapa ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan jalan cerita yang disampaikan kepadaku. Dalil naqli yang disampaikan mengukuhkan lagi apa yang dibicarakan kepadaku. Sesungguhnya, aku tersentuh dan terharu dengan kisah tersebut.
Aku amat tertarik dengan satu petikan mengenai hadis Rasulullah SAW mengenai persahabatan yang dibicara olehnya di dalam kisah tersebut. "Bandingan teman yang baik dan teman yang jahat bagaikan pembawa kasturi dan peniup api di dapur. Pembawa kasturi sama ada dia memberikan kasturi itu kepada anda atau pun anda membelinya, anda akan mendapat bau wangi daripadanya. Sedangkan peniup api dapur, mungkin dia boleh membakarkan pakaian anda atau pun anda mendapat bau busuk daripadanya". Petikan di atas memberi makna kepada diriku untuk memahami maksud disebaliknya sebagai panduan dalam menjalinkan persahabatanku dan aku ingin menjadi "pembawa kasturi".
Walaupun aku berpeluang mendekati dan mendampinginya hanya seketika cuma, sesungguhnya, aku dapat mempelajari banyak perkara yang sememangnya berlaku dalam kehidupan kini. Waktu ku diisi olehnya dengan beberapa ilmu pengetahuan yang aku belum ketahui contohnya fakta mengenai betik. Nyata aku teruja dan seronok mengenalinya dengan lebih mendalam. Aku telah jatuh hati kepadanya!
Hehehehe....siapakah yang telah membuatku jatuh hati? Tiada sesiapa, cuma sebuah novel "Tunggu Teduh Dulu" karangan Faisal Tehrani. Novelnya yang bertajuk "Adventur Si Peniup Ney" merupakan novel pertama yang aku baca. Novel tersebut aku terasa lain dan unik serta telah mendorongku terus membaca hasil karya - karyanya yang lain.
sama... sama...
BalasPadampeminat FT juga...